Ukiran

                                                   

                       
                                    
                            SENI UKIRAN                                                                                                                     





















CIRI PEMILIHAN KAYU UNTUK BAHAN UKIRAN MELAYU DI SEMENANJUNG MALAYSIA

Oleh:

ISMAIL SAID
Jabatan Senibina, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia, 81310, Sekudai, Johor
e-mail: b-ismail@utm.my

AFIRA DIWATI ADNAN
Pembantu Penyelidik, Research Management Centre, Universiti Teknologi Malaysia
e-mail: fira34@hotmail.com

Kertaskerja ini akan diterbitkan didalam Journal Housing, Building and Planning, June 2002, Universiti Sains Malaysia

Abstract

Malay craftsmen observed four factors in selecting tropical timber to make building components and woodcarving. The factors are (I) availability of timber, (ii) type of use, (iii) physical characteristics and durability of timber, and (iv) spirit of timber. The skill of selecting proper timber is gathered by the craftsmen through the process of carving. The timber are sourced from dipterocarp forests, secondary forests, coastal forests, orcahrds, and house compounds. The knowledge and skill ensure the quality of carving and optimize the use of timber supply.

Abstrak

Pengukir Melayu memerhati empat faktor didalam memilih kayu tropika untuk pembinaan komponen bangunan dan kraf yang diukir. Faktor-faktor itu adalah (i) kemudahan memperolehi bahan kayu, (ii) jenis penggunaan, (iii) sifat fizikal dan daya tahan kayu, dan (iv) kepercayaan kepada semangat kayu. Kemahiran memilih kayu ini diperolehi semasa proses mengukir yang mempengaruhi hasilkerja ukiran yang kemas dan indah serta mengayakan senibina dan seni halus Melayu. Sumber bahan di perolehi dari hutan tropika dipterokap, belukar, hutan persisiran pantai, dusun dan perkarangan rumah. Pengetahuan pada empat faktor tersebut dapat mengoptimakan kegunaan bekalan kayu yang ada di Semenanjung Malaysia. Pengetahuan ini juga memastikan produk ukiran yang mempunyai gaya asli yang diwarisi oleh orang Melayu.



Pengenalan

Kayu merupakan sumber alam yang digunakan oleh tukang ukir Melayu di dalam membentuk kraf dan komponen bangunan dan perahu. Nilai kualiti ukiran berkait rapat dengan pemilihan spesis kayu. Empat faktor yang mempengaruhi pemilihan kayu sebagai bahan binaan ukiran adalah (i) bahan yang mudah diperolehi, (ii) jenis penggunaan, (iii) sifat fizikal dan daya tahan kayu, dan (iv) kepercayaan kepada semangat kayu (Ismail Said, 2000). Pemilihan dan penyobekan yang berasas dan kemas pada sesuatu spesis kayu menentukan kualiti seni ukiran. Selanjutnya, ukiran tersebut menambahnilai rupabentuk dan estetik kepada komponen atau peralatan bangunan dan kraf. Misalnya, tunjuklangit pada kerangka bangunan Melayu dihias dengan buah buton untuk menyempurnakan nilai senibina rumah atau masjid. Masjid Telok Manok di Patanni dilengkapi dengan buah buton bermotif bunga teratai yang ditanggam pada hujung tunjuklangit atau alang. Hampir keseluruhan masjid serta komponennya dibina dari spesis kayu cengal.

Pengukir keris pula memilih kayu kemuning yang berwarna kuning cerah atau berceloreng coklat yang disobek membentuk hulu dan sarong. Motif flora dan fauna dimanifestasi pada hulu keris dengan sobekan halus dan rumit. Motif flora yang sama digunakan pada komponen rumah seperti daun pintu dan sisir angin atau perabot seperti kepala katil.

Tujuan artikel ini menerangkan empat faktor tersebut yang menentukan pemilihan spesis kayu tropika untuk bahan ukiran Melayu di Semenanjung Malaysia. Keterangan ini adalah sebahagian dari penemuan penyelidikan Kajian Klasifikasi Spesis-spesis Kayu dalam Seni Ukiran Melayu di Semenanjung Malaysia yang telah dijayakan oleh pengarang pada Jun 2000. Ciri-ciri pemilihan spesis kayu ini perlu diperhatikan oleh pengukir, akitek dan pakar seni ukiran untuk menjamin mutu dan nilai ukiran Melayu. Penghargaan pada nilai ukiran memastikan ukiran kekal sebagai warisan Melayu yang kian pudar dihayati oleh generasi masa kini.


Ukiran Sebagai Seni dan Kraf

Ukiran kayu adalah satu seni penyobekan permukaan papan atau bongkah kayu yang dibentuk atau dicorak mengikut sesuatu motif. Proses penyobekan bermula dengan pemilihan kayu untuk dijadikan komponen bangunan atau kraf. Papan atau bongkah kayu di takek dengan kapak atau ceter. Kemudian dipahat atau ditoreh dengan pahat dan pisau wali berpandukan ilham dan daya cipta pengukir. Kemahiran menyobek dan merekabentuk bunga ukir di perolehi dari proses pembelajaran dari tukang ukir yang mahir. Tukang ukir di Kelantan, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka menjadikan aktiviti mengukir sebagai pekerjaan asas atau sambilan.

Komponen bangunan dan kraf ukiran kayu Melayu boleh diklasifikasi kepada empat jenis termasuk senjata, komponen bangunan dan perahu, peralatan harian, dan peralatan musik (Ismail Said, 2000). Ianya diukir bermotif bentuk flora (tumbuhan), haiwan, khat, geometrik dan elemen kosmos. Contoh motif flora yang diketemui dari penyelidikan dijelaskan dalam rajah 1.0. Ukiran Melayu dibentuk dalam tiga jenis rupa sobekan iaitu tebuk timbul, tebuk tembus dan gabungan tebuk timbul dan tembus semenjak awal abad ke-14. Kehalusan ukiran atau saiz bunga ukir dipengaruhi oleh jenis komponen bangunan atau kraf. Ukiran berbunga kasar diterap pada komponen rumah seperti daun pintu, sisir angin, buah buton dan dinding. Bunga ukiran yang halus dan rumit disobek pada kraf kecil terutama hulu senjata, acuan putu, cepu, kotak rokok dan perabot rumah. Motif yang serupa digunapakai pada sobekan kasar dan halus. Sobekan bermotif flora mendominasi bunga ukiran pada komponen bangunan dan kraf di negeri Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.



 


Rajah 1.0 Motif flora dan fauna dalam ukiran Melayu

Bentuk bunga ukiran Melayu Kelantan dan Terengganu mengikut empat bentuk asas iaitu stupa, makara, gunungan, dan teratai (lihat rajah 2.0). Bentuk asas ini adalah pemidang kepada motif flora yang berasal dari keturunan tukang ukir sebelum abad ke-14. Kebanyakan ukiran bagi komponen bangunan berbentuk kepingan dan empat segi seperti daun pintu dan sisir angin adalah bertatatur simmetri. Tatatur yang seimbang ini berasaskan pada sekurang-kurang satu paksi. Terdapat juga komponen seperti alas lampu langit-langit rumah berpaksi lapan, contohnya pada Rumah Dato Biji Sura di Kuala Terengganu (Mohamed Hanif, 1997). Komponen bangunan atau kraf berbongkah seperti buah buton, kukur dan hulu keris disobek bersimmetri atau sebaliknya. Buah buton pada Masjid Telok Manok di daerah Pattani disobek dalam bentuk bunga teratai. Kesemua 18 buah buton dibezakan dengan kemekaran bunga; bermula yang masih kuncup hingga yang mekar penuh. Kewujudan komponen ukiran jelas mengindahkan rupabentuk dan menambahnilai sesuatu bangunan. Ia bukan hanya sebagai elemen hiasan malah menjadi elemen keperluan untuk menandakan senibina Melayu di Semenanjung Malaysia dan Selatan Thailand.






  1. Rajah 2.0 Bentuk asas ukiran Melayu di Kelantan dan Terengganu
Terdapat lebih dari 15 jenis komponen-komponen bangunan yang diukir dan dikategorikan dalam tiga jenis iaitu kerangka, elemen dan perhiasan. Pemeleh, tunjuklangit, tiang seri, tetupai dan dinding adalah komponen kerangka yang menanggung beban bangunan. Hanya bunga ukiran kasar atau mudah saja diterapkan pada komponen-komponen ini. Berlainan pula ukiran pada komponen elemen iaitu lebih halus kerana ia menjadi tumpuan pandangan apabila seseorang berada di dalam bangunan. Daun pintu, kekisi, sisir angin dan mimbar masjid adalah contoh komponen elemen. Komponen perhiasan pula berfungsi menambah nilai rupabentuk senbina bangunan. Som, buah buton dan cucur atap adalah diantara komponen perhiasan pada rumah tradisional Melayu. Buah buton merupakan bentuk stupa biasanya diukir bermotifkan bunga teratai sedang mekar dan berfungsi sebagai hiasan atau penutup pada pangkal tanggam kasau jantan, alang dan tunjuk langit. Spesis kayu cengal, merbau, balau merah, seraya dan meranti digunakan untuk pembinaan rumah dan masjid serta komponen ukiran.


Tukang perahu pula memilih spesis kayu sangat keras iaitu cengal dan balau merah untuk pembinaan ukiran pada perahu serta komponen nya. Komponen utama yang diukir termasuk kepala bangau dan pengayuh perahu. Kepala bangau atau makara merupakan mitos orang Melayu Pattani terhadap kosmologi dan laut. Ianya berfungsi sebagai penyangkut tali sauh dan dipasang pada bahagian depan perahu. Motif flora termasuk motif daun dan bunga getamguri, jari buaya, bayam peraksi, bunga ketumbit dan sulur kacang laut kebiasaannya diterapkan pada kepala bangau.

Pengukir Melayu juga menghasilkan lebih dari 15 jenis peralatan dan perkakas rumah termasuk peralatan dapur seperti kukur, sengkalan, senduduk dan acuan putu. Contoh peralatan rumah, senjata, peralatan muzik dan komponen rumah digambarkan dalam rajah 3.0. Motif flora seperti daun sulur kacang laut, ketam guri dan ketumbit disobek pada kaki dan leher kukur. Ia diperbuat dari bongkah kayu nangka atau leban yang biasa diperolehi dari belukar dan perkarangan rumah. Rupabentuk ukiran jelas menunjukan bahawa sobekan adalah satu manifestasi idea yang abstrak kepada bentuk nyata diatas kayu. Manifestasi ini amat simbolik terutama pada kraf yang kecil seperti senjata termasuk keris, badek, golok, dan lembing. Walaupun motif ukir yang sama digunapakai namun kehalusan sobekan adalah rumit. Kayu kemuning dipilih oleh pengukir untuk hulu keris dan badek kerana sifat kehalusan ira dan kecerahan warna kuning dan kadang-kadang berceloreng. Manakala kekerasan serta tahan lasak kayu cengal atau kelurusan urat batang nibong menyebabkan ia menjadi pilihan untuk hulu lembing.

Selain dari senjata, peralatan muzik juga diukir sebagai kraf termasuk kenong, kecupung rebab, kerombong, gong dan serunai. Spesis cengal, sena, leban, bacang dan nangka digunakan untuk peralatan-peralatan ini. Sebagai contoh, serunai dibuat dari spesis leban untuk menghasilkan bunyi yang merdu kerana bunyi yang tinggi nilainya dikaitkan dengan kehalusan ukiran dan kesesuaian bahan. Kaitan penggunaan spesis kayu dengan jenis kraf dan komponen bangunan dan perahu dirumuskan didalam Jadual 1.
Jadual 1:Sepesis kayu dan jenis kraf


Pemilihan Spesis Kayu

Terdapat tiga faktor yang mempengaruhi tukang rumah dan perahu serta pengukir kraf memilih spesis kayu untuk komponen ukiran. Faktor-faktor pemilihan kayu untuk bahan ukiran adalah kemudahan mendapat sumber kayu, sifat fizikal dan daya tahan, dan kepercayaan terhadap semangat kayu. Seseorang pengukir mungkin memberi keutamaan berbeza dari pengukir lain terhadap pemilihan spesis kayu. Pengukir keris hanya memilih kayu kemuning untuk hulu keris dan memberi kelonggaran untuk sarong keris yang boleh digantikan dengan kayu leban. Tukang rumah mengutamakan kayu cengal dan merbau untuk komponen ukiran kerana ketahanan lasak dari serangan bubuk dan kulat. Namun sesetengah pengukir berpuas hati dengan sebarang spesis untuk membuat peralatan dan perkakas rumah.

1. Kemudahan Mendapatkan Sumber Kayu dan Jenis Penggunaan

Hutan tropika dipterokap, belukar, persisiran pantai, dusun dan perkarangan rumah mengandungi berpuluh-puluh spesis kayu keras dan lempong untuk pembinaan bangunan dan kraf (Ismail Said, 2000). Hutan dipterokap yang menghasilkan pokok kaum damar dan bukan damar untuk bahan pembinaan. Dari perspektif tukang ukir, kayu diklasifikasi kepada tiga jenis mengikut kekerasan dan kehalusan urat (ira) kayu iaitu keras, sederhana keras dan lempong. Klasifikasi ini sedikit sebanyak bersamaan dengan klasifikasi Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia di Kepong. Kaum damar yang berkayu keras dan sederhana keras termasuk balau, cengal, damar hitam, giam, kapur, dan keladan. Spesis-spesis ini adalah kayu komersil untuk pembinaan bangunan dan perahu. Hutan prima Semenanjung Malaysia menghasilkan spesis-spesis berdamar pada kadar isipadu yang tinggi. Faktor ini memudahkan tukang ukir memperolehi bahan ukiran dengan kadar harga yang berbeza; cengal dan merbau adalah antara yang termahal berharga RM3800 setan manakala harga bagi keladan adalah lebih murah. Sehingga kini tukang ukir di Besut, Kuala Terengganu dan Kota Bahru memilih kayu cengal untuk penyobekan komponen rumah termasuk pada daun pintu, pintu gerbang, kekisi, tebar layar, sisir angin, dinding, dan tunjuk langit. Rumah Wan Embong dan Kota Lama Duyung di Kuala Terengganu adalah diantara rumah tradisional yang dilengkapi dengan komponen ukiran tersebut. Tukang perahu di Pulau Duyong, Kuala Terengganu tetap menggunakan cengal untuk pembinaan badan perahu dan komponen-komponen nya.

Belukar, dusun atau perkarangan rumah kampung menghasilkan campuran spesis kayu keras, sederhana keras dan lempong. Leban, sena, tembusu dan kundang yang berteras amat digemari oleh tukang ukir untuk membuat peralatan rumah atau alat permainan termasuk kukur dan gasing. Manakala, pokok buah yang ditanam di dusun dan perkarangan rumah termasuk nangka, ciku, rambai, belimbing dan bacang membekal bahan kayu untuk pembuatan peralatan harian termasuk dulang, congkak, kukur, dan perabot. Hutan persisiran pantai pula membekal spesis penaga dan jambu laut yang berira halus dan liat. Tukang perahu mengoptimasi bekalan ini dengan menghasilkan pengandar dan pengayuh perahu.

2. Sifat Fizikal dan Daya Tahan

Dua puluh dua spesis yang diselidik mempunyai sifat-sifat yang berbeza termasuk kepadatan dan kekerasan, ira gentian dan warna, dan kilauan. Spesis kayu berkepadatan tinggi seperti cengal dan merbau dikenalpasti mampu menampong beban yang berat. Maka spesis tersebut menjadi bahan utama pembinaan rumah atau masjid. Komponen kerangka yang diukir termasuk tunjuk langit, tetupai, dan peha tangga dibina dari kayu berkepadatan tinggi. Selain kepadatan kayu, ira gentian (urat kayu) juga sebagai penentu kesesuaian kayu untuk sesuatu kegunaan. Dari perspektif pengukir keris, ira kayu boleh dikategori sebagai sangat halus, sederhana halus dan halus, dan samada rata dan tidak rata. Gentian spesis tempinis dan kemuning adalah sangat halus yang menjadi pilihan untuk ukiran tongkat dan hulu senjata. Bongkah kayu kemuning yang dipotong dari umbi atau pangkal dahan pokok yang bergentian bertindih lebih digemari oleh pengukir. Kayu ini menghasilkan hulu keris atau badek yang lebih indah.

Sifat ketahanan lasak kayu dari serangan kulat dan bubuk merupakan faktor penting untuk bahan ukiran terutama komponen bangunan. Rumah tradisional Melayu yang berusia lebih dari seratus tahun banyak terdapat di negeri Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan. Masjid Kampung Laut di Nilam Puri, Kelantan di bina dari kayu cengal dan masih tegap walaupun dibina 180 tahun yang lepas. Sekira dibanding dengan spesis keranji yang kekerasan kayu lebih tinggi dari cengal, ia mudah di serang oleh kulat apabila berkeadaan basah. Maka tukang rumah tidak memilih keranji untuk membina komponen rumah.

Warna atau kilauan kayu juga menjadi faktor sesuatu spesis kayu di plilih oleh tukang ukir. Teras kayu sena berwarna coklat dan berkilat apabila digosok licin amat sesuai untuk perabot dan peralatan harian rumah. Kayu merbau pula berkilauan setelah diketam licin dan menjadi kegemaran tukang ukir disobek menjadi kekisi, cucur atap, dan kayu nisan. Kayu kemuning berkilaun kuning cerah atau berceloreng adalah pilihan utama dalam mengukir hulu dan sarong keris dan badek. Kilauan akan bertahan lama setelah di sapu dengan shellac.

3. Kepercayaan kepada Semangat Kayu

Kepercayaan pengukir Melayu kepada semangat kayu adalah faktor pemilihan sesuatu spesis atau pokok untuk dijadikan komponen ukiran atau kraf. Kayu yang bersemangat dapat diklasifikasikan kepada dua aspek iaitu segi fizikal dan meta-fizikal. Sebagai contoh, pokok usang yang berusia melebihi 200 tahun dipercayai mempunyai penunggu di kalangan jin dan syaitan. Oleh itu ia tidak sesuai dijadikan bahan binaan termasuk untuk ukiran. Kepercayaan ini mungkin dipengaruhi oleh sifat pokok tersebut di mana banir yang lebar mencengkam tanah dan batang besar serta tinggi. Sifat gergasi ini menyebab masyarakat Melayu mengkaitkan pokok ini dengan mitos penunggu. Sebaliknya spesis kayu yang mempunyai semangat yang tinggi seperti kemuning amat sesuai untuk ukiran pada hulu keris dan badek. Ini kerana kayu bersemangat tinggi akan dihargai oleh masyarakat dan menjadikan sesuatu kraf yang diukir itu berstatus tinggi dari segi persepsi orang Melayu. Kepercayaan kepada semangat mendorong masyarakat Melayu menghormati pokok dan kayu, seterusnya menggunakannya secara tertib dan beradab.

Kesimpulan

Pengetahuan memilih spesis kayu sebagai bahan ukiran pada sesuatu komponen rumah atau kraf berasaskan kepada kemudahan mendapat sumber kayu, fungsi komponen atau kraf, sifat fizikal serta daya tahan kayu dan kepercayaan kepada semangat kayu. Selain dari kebolehan memanifestasikan ilham kepada ukiran dan kemahiran menyobek kayu, pengukir meneliti faktor-faktor pemilihan kayu tropika untuk memastikan ukiran yang kemas dan indah dihasilkan. Proses penelitian ini memerlukan satu masa yang panjang bersamaan dengan kadar masa memperolehi kemahiran menyobek. Penelitian fizikal dan meta-fizikal dilakukan oleh pengukir Melayu untuk memastikan mutu sobekan yang tinggi. Sobekan ini adalah satu gaya senibina atau seni halus yang dimiliki oleh pengukir melayu. Gaya ini sentiasa diolah oleh seseorang pengukir; tetapi tidak mengubah asas dan motif ukiran. Pengolahan adalah satu daya usaha yang dinamik yang memastikan hasil tangan pengukir digemari oleh generasi semasa.

Terdapat banyak sumber kayu untuk ukiran dari belukar, dusun dan perkarungan rumah. Adalah wajar masyarakat Melayu memerhatikan potensi spesis pokok seperti leban, sena dan nangka yang amat sesuai dijadikan komponen ukiran. Kerap kali dilihat batang pokok tersebut dijadikan turus pagar atau kayu api. Dengan penyebaran maklumat kepentingan kayu ini, maka penggunaan spesis ini dioptimakan menjadi bahan ukiran.

Rujukan
1. Abdul Halim Nasir 1986, Ukiran Kayu Melayu Tradisi, Dewan Bahasa dan Pustaka
2. Abdul Halim Nasir, 1994, Rumah Melayu Tradisi, Fajar Bakti : Kuala Lumpur
3. Ismail Said, Ahmad Saifuddin Abdullah, Afira Diwati Adnan, 2000, Kajian Klasifikasi Spesis-spesis Kayu dalam Seni Ukiran Melayu di Semenanjung Malaysia, Research management Centre, Universiti Teknologi Malaysia
4. Dewan Budaya Sept. 1984, Seni Ukiran Kayu Tradisional Melayu di Semenanjung Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka.
5. Lim Jee Yuan, 1987, The Malay House, Institut Masyarakat Pulau Pinang
6. Mohd. Ridha Lua,1990, Komposisi dan konsep pembentukan hulu keris, Kajian Topikal, Jabatan Senibina, Fakulti Alam Bina UTM.
7. Mohamad Hanif Hassan 1997, Kota Lama Duyung, Kuala Terengganu, Kajian Lukisan Terukur, KALAM, UTM, belum diterbitkan
8. Mohd. Hazriq Mohd. Din 1998-1999, Rumah Haji Muhammad Kaya, Losong, Kuala Terengganu, Kajian Lukisan Terukur, KALAM, UTM, belum diterbitkan
9. Mohd. Taib Osman 1997, Islamic Civilization In The Malay World, Dewan Bahasa dan Pustaka
10. Syed Ahmad Jamal, 1992, Rupa dan Jiwa, Dewan Bahasa dan Pustaka
11. Zulkifli Hanafi, 2000. Pola-pola Hiasan Di dalam Bangunan Tradisional Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
12. Zulkifli Hanafi 1996, Pembinaan Bangunan Tradisional Melayu, Amber-Solara Publication.